Make your own free website on Tripod.com

 mainpageprofileintroductionorganizationactivitycalendarcontact uslinks


Thursday, 18 May 2006  
 
 
 
Assalamualaikum w.b.t.
Salam sejahtera diucapkan kepada semua pengunjung laman web ini. Laman web ini dibangunkan adalah bertujuan untuk memudahkan saya merujuk dan mencari maklumat di samping dapat memberi info-info kepada anda semua. Segala kekurangan dan kelemahan yang terdapat dalam laman web ini harap dapat dimaafkan. Tidak lupa juga kepada kawan-kawan yang memberi sokongan dan semangat dalam mencipta tapak web ini. Oleh itu, saya mengucapkan selamat melayari laman web rasmi ini. Semoga usaha yang dilakukan ini mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T. - Wassalam...
 

Akademi Al-Quran bawa fenomena baru

 

AKADEMI Al-Quran muncul di tengah-tengah keghairahan anak-anak muda masa kini mengejar populariti sebagai penyanyi menerusi program realiti yang telah melahirkan Mawi (Akademi Fantasia 3), Pija (Mentor) dan Jaclyn Victor (Malaysian Idol).

Tanpa menjanjikan kerlipan bintang dan tawaran daripada syarikat rakaman antarabangsa, ia berjaya menarik perhatian golongan muda berumur 15 hingga 25 tahun menghadiri uji bakat sebagai peserta program realiti Akademi Al-Quran. Rancangan ini diterbitkan oleh TV9, stesen siaran percuma keempat dalam Kumpulan Media Prima Berhad yang memulakan siaran ke seluruh negara minggu lalu.

Penerbitnya, Shukri Ibrahim berkata, program itu menampilkan kelainan dari segi format kehakiman dan pengisian bukan sahaja kepada para peserta tetapi penonton yang mengikutinya. Secara tidak langsung penonton dapat berkongsi dan mendalami ilmu bacaan al-Quran bersama tenaga pengajar.

“Mereka akan mendapat pendedahan yang mendalam tentang al-Quran dan teknik bacaan yang betul. Selain menyuntik perasaan cinta golongan muda terhadap al-Quran, program ini juga dilihat sebagai batu loncatan untuk mendidik akhlak dan nilai murni sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran,” ujar beliau.

Sabda Rasulullah s.a.w., “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Riwayat Muslim)

Selama hampir sebulan, Shukri dan krew penerbitan memulakan road tour seluruh negara bermula dari 6 Februari hingga 1 Mac lalu di mana pelbagai pengalaman dan ragam peserta dapat dilihat. Amat mengagumkan apabila ada peserta yang tidak pernah mempunyai pendidikan formal dalam bacaan al-Quran mampu mempamerkan bacaan yang sempurna dan meyakinkan
Rombongan krew TV9 juga mendapat sambutan yang menggalakkan di seluruh negara. Ini dibuktikan dengan jumlah peserta yang mendaftar seramai 600 orang. Hingga kini seramai 87 peserta telah berjaya dalam saringan pertama manakala 12 peserta akhir Akademi Al-Quran hanya akan diumumkan pada episod keempat. Program 14 episod itu akan menemui penonton pada 27 April.

“Peserta program ini tidak semestinya terdiri daripada pelajar tahfiz, sekolah agama ataupun madrasah tetapi mereka yang berminat dan mempunyai kemahiran membaca al-Quran dengan baik terutama dari segi tajwid dan sebutan,” kata Shukri mengenai keistimewaan program itu.

 

Berbanding dengan Akademi Fantasia (AF) atau program realiti hiburan yang lain, pemenang program itu akan mengorak langkah lebih jauh sebagai artis syarikat rakaman atau menjadi pelakon. Namun, situasi berbeza akan dialami oleh pemenang Akademi Al-Quran. Selain juara yang akan membawa pulang wang tunai RM30,000, naib juara (RM20,000) dan ketiga (RM10,000), para pemenang itu sebenarnya mencipta fenomena baru dalam pengajian al-Quran. Mereka bukan meraih populariti semata-mata tetapi semangat menghidupkan kembali budaya membaca al-Quran yang semakin terhakis pada masa kini.

  “Jangan samakan program AQ ini dengan AF kerana konsepnya jauh berbeza. Malah, dari segi penghakiman, ia tidak menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS). Keputusan sepenuhnya terletak di tangan juri. Peserta akan disingkirkan setiap minggu sekiranya para juri tidak berpuas hati dengan peningkatan bacaan mereka,” jelas beliau lagi.

  Penghakiman program Akademi Al-Quran tertumpu kepada tiga aspek iaitu tajwid (40 peratus), qiraat dan fasahah (30 peratus) selain suara dan lagu (30 peratus). Lebih istimewa, istilah-istilah dalam bacaan al-Quran akan dipamerkan di kaca televisyen dengan tujuan untuk mendidik penonton. Peserta juga akan diminta membaca surah-surah tertentu secara spontan di hadapan juri.

  Sementara itu, juri yang terlibat sepanjang uji bakat berlangsung berpendapat, para peserta AQ perlu memperbaiki banyak kelemahan terutama dari segi tajwid dan makhraj. Bagaimanapun, keyakinan dan kemampuan peserta memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran wajar mendapat pujian.

  Menurut Pensyarah Bahasa Arab dan Pengajian Islam di Darul Quran, Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin, makhraj dan tajwid yang betul amat penting dalam bacaan al-Quran kerana kesilapan sebutan akan membawa maksud yang lain.

  “Kebanyakan peserta yang datang tidak mempunyai pendidikan secara formal khusus untuk bacaan al-Quran. Walaupun sebutan mereka betul tetapi banyak yang perlu diperbaiki. Inilah tujuan utama program ini diadakan untuk mendidik mereka dan para penonton agar sama-sama mendalami ilmu al-Quran,” katanya yang akan mengadili aspek tajwid, fasahah dan tarannum.

  Dalam bacaan al-Quran qiraat juga amat dititikberatkan. Secara dasarnya qiraat adalah bacaan al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t. melalui malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad s.a.w. Terdapat tujuh jenis qiraat iaitu Nafi’, Ibnu Khatir, Abu Amru, Ibnu A’mir, A’sim, Hamzah dan Kisaie.

  Pensyarah al-Quran di Darul Quran, Mohd. Nazri Abdullah pula bertanggungjawab untuk mengadili peserta dari segi qiraat. Katanya, semasa sesi uji bakat dijalankan, terdapat peserta yang tidak pernah mengenali ketujuh-tujuh jenis bacaan tersebut tetapi mampu membaca al-Quran dengan baik. “Mereka yang terpilih akan didedahkan dengan kesemua jenis qiraat. Di sinilah terletaknya keistimewaan program realiti ini. Selain format yang berbeza, peserta juga perlu mendalami ilmu al-Quran dengan baik,” ujarnya.

   
   
   
   
   
   
Hak Cipta Terpelihara © 2006 Lajnah Syariah Website | All Rights Reserved.